PETALING JAYA – Seorang wanita mencuri perhatian ramai selepas berkongsi pengalaman peribadi mendakwa dirinya serta haiwan peliharaannya mengalami gangguan mistik sejak tahun lalu.
Menerusi perkongsian di Threads oleh @tirahhhhhhhhhhhhhhhh, wanita itu mendakwa menemui sekeping gambar kucing-kucingnya dan dua helai kain berwarna kuning yang dibalut kemas dan disorokkan di bawah karpet tempat duduk pemandu dalam keretanya.
“Kucing saya pun terpalit kena sihir atau santau masa saya kena sihir tahun lepas. Orang tu hantar melalui angin dan balut dalam kain kuning macam ni. Kain kuning ni jumpa dalam kereta belakang tempat duduk pemandu bawah karpet,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Menurutnya, penemuan itu berlaku selepas dia mendapatkan rawatan alternatif dan diminta melakukan amalan tertentu termasuk menyiram air yang telah dibacakan doa.
“Sejak mula buat air tawar di masjid atas saranan ustaz dan siram pada kereta, saya mula jumpa barang-barang pelik. Ketika siram air itu, saya nampak lembaga hitam besar berada di atas kereta,” katanya.
Wanita itu turut mendakwa perubahan tingkah laku terhadap kucing peliharaannya yang menjadi lebih agresif, selain ahli keluarganya menyatakan terlihat kelibat mencurigakan di rumah mereka di kampung.
Wanita tersebut turut mendakwa sering diganggu pada waktu malam termasuk mengalami kesukaran tidur serta perasaan tidak selesa ketika bersendirian.
Susulan itu, dia berkata seorang ustaz yang merawatnya menasihatkan supaya kain berkenaan dibaca ayat suci al-Quran sebelum dimusnahkan dan dibuang ke sungai yang mengalir.
“Kain itu dimasukkan ke dalam bekas sementara menunggu waktu sesuai untuk dibuang. Disebabkan sudah malam, kami simpan bekas itu dalam almari dan ditindih dengan al-Quran. Tidak lama kemudian almari itu bergegar dengan kuat. Keesokan subuh, kami terus buang ke sungai,” katanya.
Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya bersimpati dan berkongsi pengalaman hampir sama.
“Jahatnya, kucing pun nak sakitkan ke,” komen @aldkk95
“Saya pun pernah kena, lima ekor kucing saya mati mendadak. Akhir sekali pergi berubat. Tidak puas hati dengan anak dan saya, tetapi kucing yang kena,” komen Rose Yusuf.
“Kalau dah tuan badan cakap kata jumpa dalam kereta, jadi orang yang buat tu orang terdekat jelah kan?,” komen Fadzly Hisham. – KOSMO! ONLINE














