SUNGAI BULOH – Penguasaan kemahiran kecerdasan buatan (AI) bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan utama dalam memastikan tenaga kerja negara kekal relevan dan berdaya saing pada masa hadapan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, hampir semua sektor pekerjaan kini bergerak seiring dengan penggunaan teknologi digital dan AI, justeru rakyat Malaysia perlu dilengkapkan dengan kemahiran tersebut sejak awal.
Menurut beliau, perubahan landskap pekerjaan jelas memperlihatkan peralihan daripada kaedah tradisional kepada penggunaan komputer, pembelajaran dalam talian serta sistem berasaskan AI dalam hampir setiap bidang.
“AI ialah masa depan. Banyak tenaga kerja yang diperlukan hari ini dan pada masa akan datang memerlukan kemahiran AI. Jika kita ketinggalan sekarang, usaha untuk mengejar pada kemudian hari akan menjadi sangat sukar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah AI MyMahir di Dewan Meranti Seksyen U20, di sini hari ini.
Ramanan berkata, latihan AI yang dilaksanakan menerusi Jelajah AI MyMahir bertujuan memastikan rakyat Malaysia tidak tercicir dalam arus perubahan teknologi, sebaliknya bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan moden.
Menurutnya, program tersebut merangkumi lima modul latihan dan peserta yang berjaya menamatkan kesemua modul akan dianugerahkan sijil kemahiran AI sebagai pengiktirafan kompetensi mereka.
Setakat ini, kira-kira 500 peserta telah berjaya melengkapkan kesemua lima modul latihan tersebut, manakala lebih 700 peserta baharu telah mendaftar dan menamatkan modul pertama serta menunjukkan minat tinggi untuk meneruskan latihan sehingga selesai.
Program Jelajah AI MyMahir telah dilaksanakan di beberapa lokasi termasuk Kota Kinabalu, Sepanggar, Papar, Bangi dan Sungai Buloh, selain dirancang untuk diperluaskan ke lebih banyak kawasan Parlimen dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Ramanan memaklumkan program berkenaan dijayakan menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Ernst & Young (EY) yang memperuntukkan dana sebanyak RM110 juta bagi pelaksanaan latihan AI.
“Latihan ini biasanya bernilai sekitar RM5,000 jika diikuti di luar, namun melalui inisiatif ini, ia ditawarkan secara percuma dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk pelajar, suri rumah dan warga emas,” katanya. – KOSMO! ONLINE














