KOTA BHARU – Pembinaan jambatan besi bagi menggantikan titi gantung yang runtuh sehingga menyebabkan lebih 50 tetamu termasuk rombongan pengantin lelaki terjatuh ke dalam sungai di Kampung Chatel Damai, Lata Rek dekat Kuala Krai lebih dua minggu lalu bermula hari ini.
Pengarah Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Kelantan, Jasri Kasim berkata, pembinaan jambatan baharu dengan kos sebanyak RM200,000 akan disiapkan dalam tempoh enam minggu.
Menurutnya, pihak kontraktor yang dilantik sudah memasuki kawasaan bagi melakukan kerja-kerja tersebut.
“Pada awalnya, kita jangka jambatan besi itu siap sebelum Ramadan, tetapi pembinaannya perlu kukuh dan selamat. Jadi, ia akan siap sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Buat sementara waktu, penduduk akan menggunakan titi gantung tersebut yang sudah dibaik pulih,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani di Kampung Guchil Bayam di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Lebih 50 tetamu termasuk rombongan pengantin lelaki berdepan detik cemas selepas mereka terjatuh ke dalam sungai apabila sebuah titi gantung di Sungai Chatel Damai, Lata Rek di sini, runtuh pada 1 Januari lalu.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu dipercayai berlaku semasa rombongan pengantin lelaki sedang dalam perjalanan pulang sebelum bertembung dengan tetamu yang selesai menghadiri kenduri di atas titi gantung tersebut.
Penghulu Mukim Lata Rek, Mohd. Zaki Saari berkata, situasi itu menyebabkan seorang lelaki patah kaki selepas terjatuh di atas batu.
Katanya, kejadian itu turut menyebabkan seorang kanak-kanak cedera pada bahagian kepala, manakala tiga lagi individu luka ringan dan sesak nafas.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar pembinaan segera dilaksanakan bagi menggantikan titi gantung tersebut yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam serta menjejaskan akses harian penduduk.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, susulan itu, kerja penggantian jambatan terbabit akan dilaksanakan ICU JPM dengan kerjasama agensi berkaitan. – KOSMO! ONLINE














