SEBERANG PERAI – Polis mengesahkan kematian seorang lelaki tempatan yang ditembak di badan dan kaki di sebuah kedai cuci kereta di Nibong Tebal, di sini, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan menerima panggilan pada pukul 10.40 malam dan berdasarkan maklumat saksi mangsa yang berusia lingkungan 30-an didatangi dua individu bermotosikal.
“Pembonceng kemudian menghampiri mangsa dan melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat menggunakan senjata api semi automatik, manakala seorang lagi suspek menunggu atas motosikal.
“Kedua-dua suspek berpakaian gelap dan memakai topi keledar,” katanya di sini, hari ini.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Taiping, Perak sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. Motif kejadian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE














