fbpx
SITI NURHALIZA

‘Jangan ada rasa kita lebih bagus daripada orang lain’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyeru agar penggiat industri seni menghargai setiap individu dalam bidang yang sama tanpa ada rasa diri lebih bagus daripada orang lain.

Siti atau nama lengkapnya, Siti Nurhaliza Tarudin, 47, berkata demikian sewaktu diminta mengulas tentang hantaran beliau dalam akaun Threads mengenai penganjur konsert yang dikatakan menyindir Konsert Legacy 30 baru-baru ini.

Menurut Siti, hantarannya tidak ditujukan secara spesifik kepada penganjur tersebut sebaliknya sekadar membalas soalan yang diajukan peminatnya.

“Satu ketika dulu, mungkin saya akan memilih untuk tidak menjawab. Tetapi sekarang saya rasa wajar seiring dengan kematangan.

“Namun bukan maksud saya untuk membalas balik. Saya cuma menjawab soalan peminat saya sahaja. Dan saya jawab secara berseloroh dengan menyelitkan lirik lagu saya.

“Walau bagaimapun, ini pengajaran kepada orang dalam industri agar kita meraikan dan menghargai semua orang yang berada di dalam bidang sama. Jangan ada rasa kita lebih bagus atau lebih baik. Industri kita tak sebesar industri di luar negara. Pusing-pusing kita akan jumpa orang yang sama.

“Kalau kita ada perkara yang tidak manis atau tidak elok untuk diperkatakan tak perlu luahkan dalam media sosial dengan merendahkan orang lain. Lebih baik kita saling menyokong,” katanya ketika ditemui di majlis sambutan hari lahirnya yang ke-47 dan apresiasi media, di sini semalam.

Tambah penyanyi nombor satu negara itu lagi, biarpun hantaran yang dibuat tidak menyebut namanya, tetapi peminatnya terutamanya SitiZoners bijak menilai.

“Peminat saya bijak. Sebab itu kadang-kadang saya rasa tak perlu nak berlawan dengan orang sebab peminat saya sendiri akan bertindak. Biar mereka sahaja yang melenting, saya tak perlu nak melenting sangat.

“Saya mungkin tak baca tapi ada orang yang akan tulis membuatkan saya pun tahu juga. Tak baguslah dan tak perlu pun sebenarnya nak tulis seperti itu dalam media sosial.

“Kita perlu sokong industri muzik kita. Kita baru sahaja nak kembali meriah, dengan adanya perkara seperti ini, tidak bagus,” jelasnya.

Terdahulu, pemilik Icon Entertainment, Iman Tang didakwa menyindir Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang disifatkan sebagai membosankan dan tiada pembaharuan.

Biarpun tidak menyebut nama, namun netizen terutamanya peminat Siti percaya hantaran tersebut ditujukan kepada Siti. Walaubagaimanapun, Iman menafikan hantaran tersebut ditujukan kepada Siti.

Dalam acara sama, Siti turut meraikan rakan-rakan media yang membuat liputan konsertnya yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Januari lalu.

“Waktu hari konsert saya tak sempat nak bertemu dengan rakan-rakan media kerana saya ada sesi ‘meet and greet’ bersama 200 peminat. Pukul 2 pagi baru selesai.

“Jadi majlis pada malam ini (semalam) untuk menghargai jasa rakan-rakan media yang sudah menyokong saya sejak 30 tahun lalu, sebelum saya popular lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN