PETALING JAYA – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mendakwa terdapat beberapa perkara yang masih belum ditangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menangani krisis keyakinan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, antara perkara yang belum diselesaikan adalah cadangannya pada 8 Disember tahun lalu supaya 10 peratus daripada peruntukan kerajaan yang diperuntukkan untuk bumiputera diagihkan kepada bukan bumiputera, namun tanpa mengurangkan peruntukan asal bumiputera.
Beliau menegaskan, kerajaan juga perlu membekukan atau mengkaji semula perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap perniagaan Malaysia yang dilaksanakan pada 1 Julai 2025.
Selain itu, katanya, kerajaan wajar mewajibkan pembelian 50 peratus barangan keperluan daripada pengeluar tempatan, sambil mengenakan SST 10 peratus terhadap bijih besi import dan tempatan, arang batu koking metalurgi dan kok, serta menghapuskan SST ke atas skrap besi bagi melindungi industri tempatan.
Beliau turut mencadangkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dikecualikan daripada e-invoicing atau nilai ambang e-invoicing dinaikkan kepada hasil tahunan perniagaan sebanyak RM5 juta.
“Menubuhkan Tribunal Pembayar Cukai Khas Bagi Individu dan PMKS. Membekukan caruman dua peratus KWSP oleh majikan untuk pekerja asing dan cukai dua peratus pendapatan dividen yang melebihi RM100,000 ke atas syarikat yang bukan syarikat Bursa Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Guan Eng berkata, terdapat enam lagi isu fiskal dan kewangan baharu yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan termasuk mengurangkan cukai korporat PMKS kepada tahap 15 peratus tanpa had atau kawalan.
Menurut beliau, isu seterusnya adalah membatalkan pelaksanaan Notis Bayaran Ansuran atau CP500 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN) terhadap warga pekerja yang membayar Potongan Cukai Bulanan (PCB)
Kata beliau, perkara lain yang perlu ditangani adalah berhubung membayar pampasan dua peratus setahun bagi kelewatan pembayaran balik lebihan cukai dianggarkan hampir RM2 blion.
Beliau turut mencadangkan kerajaan membatalkan cukai ‘Transfer Pricing’ berjumlah RM10 bilion ke atas PMKS dan melonggarkan penguatkuasaan terhadap syarikat lain.
Ujar beliau, kerajaan perlu meningkatkan pelepasan cukai individu daripada RM3,000 kepada RM12,000 serta menaikkan setiap potongan cukai persendirian sebanyak RM1,000.
Cadangan lain beliau termasuk memudahkan pemprosesan pekerja asing melalui pendigitalan dan urusan secara dalam talian yang komprehensif.
Katanya, pelaksanaan cadangan itu berpotensi mereformasikan kerajaan, menambah kemakmuran, mengurangkan kos sara hidup rakyat dan mengekalkan sokongan rakyat terhadap kerajaan. – KOSMO! ONLINE














