fbpx
Gelagat penghuni pusat kebajikan ketika ditemui Kosmo! di Taman Pandan Ria 3, Ampang Jaya semalam.

Datang sendiri kalau tak percaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG JAYA – Biarpun dihimpit tekanan mencari dana lebih RM30,000 sebulan, seorang ‘hero’ tetap cekal meneruskan operasi pusat kebajikan yang diasaskannya, demi menjaga 18 individu orang kurang upaya (OKU).

Pusat jagaan yang terletak di Taman Pandan Ria 3 di sini itu, menyediakan perkhidmatan secara percuma sejak dua tahun lalu bagi membantu keluarga miskin dan kurang berkemampuan.

Mereka yang ditempatkan di premis itu terdiri daripada OKU mental dan fizikal berusia 7 hingga 63 tahun yang dihantar keluar­ga masing-masing dari seluruh negara termasuk yang diserahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pengasas Pertubuhan Kebajikan OKU Al Hadid, Halmi Seali berkata, beliau memerlukan kos lebih RM30,000 sebulan bagi menampung kos operasi termasuk makan minum penghuni, rawatan, gaji pekerja serta bayaran utiliti.

Bagaimanapun katanya, dana bantuan bergantung 100 peratus kepada sumbangan orang ramai.

“Anak-anak OKU saya makan lima kali sehari, belum masuk kos lain seperti gaji pekerja, perubatan, utiliti, pengangkutan dan lain-lain yang kesemuanya berjumlah RM33,420.

“Setakat ini, bil elektrik rumah kami tertunggak lebih RM6,000, manakala perjanjian sewaan premis juga tidak disambung April ini, jadi menambah tekanan untuk berpindah dan mencari lokasi baharu,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Menurutnya, antara cabaran utama penubuhan rumah kebajikan itu ialah memastikan kewujudannya diketahui orang ramai serta mendapat kepercayaan masyarakat.

“Pusat jagaan ini tidak me­ngenakan sebarang yuran, berbeza dengan rumah kebajikan lain. Sumbangan yang dite­rima tidak menentu kerana orang belum kenal.

“Saya tahu sekarang banyak scammer, jadi orang nak tengok sendiri operasi pusat ini atau bukti sebelum menghulurkan sumbangan,” ujarnya.

Pelbagai usaha juga dilakukan Halmi termasuk mengiklankan pusat kebajikannya di media sosial selain cuba berhubung de­ngan pihak-pihak korporat atau universiti yang ingin menjalankan tanggungjawab sosial korporat.

“Pernah saya pergi ke dapur, tanya tukang masak, dia kata langsung tiada makanan. Saya pergi beli roti dan telur untuk anak-anak OKU saya makan supaya mereka tidak lapar.

“Syukur rezeki mereka kadang­kala cukup sahaja, datang dari pelbagai sudut,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, beliau membuka pusat kebajikan tersebut selepas mendapati pusat jagaan anak OKU yang percuma di negara ini sa­ngat terhad.

Disebabkan itu, beliau membuka sebuah pusat kebajikan percuma, namun proses sari­ngan untuk menerima penghuni sangat ketat bagi memastikan mereka yang terpilih benar-benar memerlukan.

“Sehingga kini, setiap bulan pasti ada permintaan. Kebanyakan yang hantar anak daripada keluarga susah. Majoriti ialah ibu tunggal, sakit dan tidak mampu nak jaga atau takut biarkan anak OKU tinggal sendirian di rumah.

“Bagaimanapun, saya boleh katakan apabila sudah hantar anak, kebanyakan mereka memang tidak ambil tahu tentang perihal waris mereka. Kadangkala setahun sekali baru datang atau apabila diminta,” ujarnya.

Justeru, Halmi berharap lebih ramai individu atau syarikat korporat tampil menghulurkan sumbangan menerusi akaun Ambank 8881056265688 (Pertubuhan Kebajikan OKU Al Hadid) atau menghubunginya di talian 012-8688160.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN