JAKARTA – Penduduk di Tojo-Una-Una, wilayah Sulawesi Tengah mengundang perhatian ramai kerana membawa jenazah ke tanah perkuburan dengan menaiki motosikal, lapor portal berita Lambe Turah.
Kejadian berlaku di Desa Uematopa, daerah Ampana Tete, baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @cnnindonesia menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal sambil membawa jenazah yang dibungkus dengan kain kafan.
Selain diikat dengan tali, jenazah itu dibaringkan pada papan kayu yang diletakkan di belakang motosikal agar tidak terjatuh.
Mereka terpaksa berbuat demikian akibat ketiadaan ambulans dan perjalanan dari hospital ke rumah mayat mengambil masa selama lapan jam.
Rakaman itu mencatatkan lebih 2.6 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Indonesia telah merdeka selama 80 tahun tetapi rakyat hidup seperti era Perang Dunia Pertama,” kata seorang netizen.
“Di mana pihak yang bertanggungjawab?” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














