fbpx
Azhan ketika hadir Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 204/25 dan Wanita Siri 50/25 di Padang Kawad Utama, PUSASDA, Port Dickson, hari ini.-Foto oleh MOHD SHAHJEHAN MAAMIN/KOSMO!

15 pegawai TDM disiasat aktiviti ‘yeye’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengenal pasti seramai 15 pegawai terbabit dalam aktiviti tidak bermoral ‘yeye’ dan sedang dalam proses tindakan undang-undang.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkata, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dalam salah laku termasuk aktiviti tidak bermoral.

“Isu ini perlu ditangani secara menyeluruh dan berterusan. Justeru kepimpinan baharu Tentera Darat berikrar tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja tanpa memilih pangkat dan jawatan mereka.

“Jika terbukti bersalah, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan dan undang-undang sedia ada dalam perkhidmatan. Di samping itu, saya memandang serius isu berkaitan aktiviti tidak bermoral dalam kalangan warga tentera yang jelas bertentangan dengan arahan sedia ada.

“Kalau kita merujuk pada kes itu (yeye), 15 orang (pegawai) telah dikenakan pasti,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 204/25 dan Wanita Siri 50/25 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.

Menurut Azhan, beliau sendiri telah mengarahkan cawangan siasatan jenayah dan agensi berkuasa Tentera Darat untuk melaksanakan siasatan terperinci terhadap semua aduan yang diterima mengenai aktiviti yang tidak bermoral ini.

Katanya, pihaknya dengan kerjasama Kor Agama Angkatan Tentera dan badan integriti di Kementerian Pertahanan merangka program yang bersesuaian bagi mengukuhkan pendidikan dan latihan integriti secara berterusan dalam membina budaya kerja berteraskan amanah, profesionalisme dan akauntabiliti di semua peringkat kepimpinan Tentera Darat. 

– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI