fbpx
JUN HAO terpaksa menarik diri pertengahan set kedua pusingan pertama Terbuka India kerana masalah kesihatan.

Yogendran belum puas hati aksi pemain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PRESTASI perseorangan lelaki negara pada Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi masih belum mampu untuk memuaskan hati jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, K. Yogendran.

Apa tidaknya, dua wakil negara dalam acara tersebut, Leong Jun Hao dan Justin Hoh terpaksa akur gagal meneruskan kemaraan pada saingan Jelajah Dunia Super 750 itu apabila tersingkir di pusingan pertama.

Bagaimanapun, kekalahan Jun Hao masih boleh dimaafkan memandangkan dia terpaksa menarik diri di set kedua ketika sedang bermain menentang pemain Jepun, Yushi Tanaka kerana difahamkan mengalami demam panas.

“Memang tidak puas hati, pemain kita sudah kalah, mana boleh cakap puas hati. Prestasi Leong (Jun Hao) tidak boleh komen sangat kerana dia kurang sihat sehingga tidak dapat meneruskan permainan.

“Untuk Justin, memang kita nampak ada peningkatan tetapi masih banyak perlu diperbaiki sekiranya mahu memberikan saingan kepada pemain-pemain dalam kelompok 20 terbaik dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada aksi pusingan pertama kelmarin, Justin yang beraksi lebih awal terpaksa akur tewas 17-21, 15-21 kepada pemain China, Lu Guang Zu, manakala Jun Hao tidak dapat meneruskan permainan ketika ketinggalan 3-8 di set kedua.

Yogendran menjelaskan, masih banyak yang perlu diperbaiki anak-anak buahnya sebaik sahaja pulang ke tanah air sebelum menggalas cabaran seterusnya pada Indonesia Masters di Jakarta minggu depan.

“Apa yang pasti, apabila pulang nanti, perlu bekerja lebih keras dan betulkan setiap kelemahan yang ada. Sementara itu, kita juga perlu tengok keadaan Jun Hao sebelum buat perancangan (ke Indonesia Masters),” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI