KUALA LUMPUR – Tuah tidak menyebelahi beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai apabila tersingkir daripada Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Indira Gandhi Arena sebentar tadi, pasangan suami isteri itu tewas 19-21, 21-19, 18-21 kepada beregu No.1 dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Walaupun turun sebagai ‘underdog’, namun Soon Huat-Shevon menunjukkan semangat juang cukup tinggi apabila memaksa pilihan utama itu bekerja keras sebelum tewas dalam tempoh 75 minit.
Kekalahan tersebut menyebabkan beregu No.10 dunia itu kempunan untuk mengulangi pencapaian musim lalu di mana mereka berjaya melangkah sehingga ke pusingan separuh akhir.
Mereka juga belum mampu untuk menamatkan badi kekalahan kepada Yan Zhe-Dong Ping apabila tewas dalam kesemua lima pertemuan setakat ini.
Pada aksi Terbuka Malaysia minggu lalu, Soon Huat-Shevon juga tidak dapat melangkah jauh apabila terkandas di pusingan kedua.
Selepas ini, Soon Huat-Shevon akan berangkat ke Jakarta bagi menyertai Indonesia Masters dan dijadualkan berdepan beregu tuan rumah, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil di pusingan pertama. – KOSMO! ONLINE














