PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi sokongan kepakaran komunikasi strategik kepada pasukan petugas Op Naga yang diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM).
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, SPRM menerusi Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) telah dijemput bagi memperkukuh strategi dan pelaksanaan komunikasi sepanjang Op Naga.
“Penglibatan BKS dalam operasi ini amat dihargai. Melalui pengalaman dan kepakaran yang ada, BKS akan menyokong usaha meningkatkan hebahan kejayaan operasi selain memperkukuh tahap integriti masyarakat, khususnya komuniti nelayan, dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini
Usaha yang digerakkan APMM itu dilihat selari dengan agenda tadbir urus baik, khususnya dalam kawalan keselamatan perairan negara.
Beliau berkata, operasi keselamatan maritim itu bertujuan membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilapor dan tidak dikawal (Illegal, Unreported and Unregulated Fishing – IUU Fishing), khususnya melibatkan Vessel Nelayan Asing (VNA) yang menceroboh perairan negara.
Op Naga turut disertai kerjasama pelbagai agensi keselamatan utama termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perikanan.
Agensi sokongan yang terlibat ialah Jabatan Laut, Jabatan Imigresen, Pelabuhan & Dermaga Sabah, Lembaga Kemajuan Ikan serta Bahagian Penguat Kuasa KPDN.
Terdahulu, isu pencerobohan nelayan asing, khususnya dari Vietnam, pernah dibongkar SPRM menerusi Op Armada bersama APMM pada 2017, yang membawa kepada hukuman penjara tiga tahun dan denda RM1.75 juta terhadap seorang warga Vietnam pada 2019. – KOSMO! ONLINE














