BESUT – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya melumpuhkan sebuah sindiket penyeludupan yang aktif mengedarkan rokok tanpa cukai di Pantai Timur semalam.
Serbuan tersebut di sebuah jeti dan kedai runcit di Kuala Besut antara pukul 5.30 pagi hingga 6.30 pagi berjaya merampas rokok disyaki diseludup bernilai keseluruhan RM175,170 dan seorang lelaki warga Pakistan disyaki tali barut sindiket berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan pertama di sebuah jeti di Kuala Besut berjaya merampas 50,000 batang rokok disyaki seludup yang disimpan di dalam kereta Honda City.
“Kereta Honda yang dipandu dalam keadaan mencurigakan oleh seorang lelaki warga Pakistan berusia 34 tahun berkenaan telah ditahan pada pukul 5.30 pagi.
“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu kemudiannya berjaya menjumpai sejumlah rokok yang disimpan kotak-kotak berwarna coklat,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Radzi berkata, penemuan rokok disyaki seludup tersebut kemudiannya membawa kepada serbuan kedua di sebuah kedai runcit di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut di sini kira-kira sejam kemudian.
Beliau berkata, serbuan tersebut berjaya menemukan beberapa kotak yang mengandungi 36,200 batang rokok juga disyaki diseludup.
“Kesemua barangan rampasan terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Besut untuk tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














