KUALA LUMPUR – Kepercayaan rakyat terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih boleh dipulihkan sekiranya isu rasuah dan salah guna kuasa ditangani secara telus serta menyeluruh.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, masalah yang melanda ATM bukan isu terpencil, sebaliknya mencerminkan cabaran global yang turut dihadapi banyak agensi kerajaan di Malaysia.
Beliau berkata, pendedahan berterusan terhadap kes rasuah disifatkan sebagai proses ‘penyembuhan’ yang perlu dilalui sebelum sistem menjadi lebih kebal.
“Seperti penyakit, semua simptom akan ‘keluar’ dahulu sebelum pulih. Pendedahan kes rasuah ini membolehkan negara sembuh secara lebih natural pada masa depan,” katanya ketika ditemui media selepas sesi dialog santai dan tertutup bersama Presiden MCW di Restoran Kakatoo, Quill City Mall, di sini hari ini.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diibaratkan sebagai ‘vaksin’ berkesan dalam memerangi rasuah, sambil MCW memuji tindakan tegas Ketua Pesuruhjayanya dalam membawa kes-kes berprofil tinggi ke muka pengadilan.
“Jika masalah disorok ‘di bawah karpet’, keadaan akan jadi lebih buruk. Lebih baik kita tunjukkan apa yang berlaku dan baiki secara sistemik,” ujarnya.
Mengulas pendakwaan yang bakal melibatkan beberapa pegawai Tentera Darat termasuk di peringkat tinggi, Jais menegaskan proses pendakwaan dan hukuman mesti dilaksanakan sepenuhnya kerana itu harapan rakyat.
Namun, katanya, pembaharuan sistem lebih penting berbanding tindakan kosmetik.
Media pada 7 Januari lalu melaporkan SPRM menahan bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan dua isterinya berkaitan projek perolehan Tentera Darat selain menyita barangan bernilai RM11.4 juta hasil risikan di dua lokasi, iaitu di sebuah rumah di Kuala Lumpur dan satu lagi di Besut, Terengganu. – KOSMO! ONLINE














