KUALA LUMPUR – Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Cheras yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Majlis serah terima tugas berkenaan disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Mohd Rosdi sebelum ini menyandang jawatan Ketua Polis Daerah Kota Bharu dan menggantikan Senior Asisten Komisioner Aidil Bolhassan, yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Bukit Aman.
Fadil berkata jawatan KPD menuntut tahap kepimpinan yang tinggi, khususnya dalam mendepani cabaran keselamatan serta perubahan trend jenayah yang sentiasa berkembang.
“Namun, dengan kepimpinan mantap dan semangat esprit de corps yang kukuh dalam kalangan pegawai serta anggota, Insya-Allah setiap cabaran dapat ditangani dengan berkesan.
“Sehubungan itu, saya menyeru seluruh warga IPD Cheras agar memberikan sokongan padu dan kerjasama sepenuhnya kepada Mohd Rosdi dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan,” katanya dalam ucapan di IPD Cheras, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Rosdi menzahirkan harapan agar seluruh warga IPD Cheras termasuk petugas media terus memberikan kerjasama dalam usaha meneruskan legasi kecemerlangan kepimpinan terdahulu.
“Saya akan meneruskan visi dan misi pucuk pimpinan pasukan serta mengekalkan legasi kecemerlangan. Semoga media dan masyarakat terus memberikan sokongan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














