PETALING JAYA – Kementerian Pertahanan (Mindef) akur terhadap arahan Perdana Menteri, berhubung pembekuan sementara keputusan perolehan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terpalit dengan isu rasuah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaksanaan arahan tersebut akan diteliti secara terperinci supaya tidak menjejaskan tahap kesiapsiagaan serta kelangsungan operasi pertahanan negara.
“Kementerian kini sedang mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut berhubung arahan ini sebelum meneliti perincian pelaksanaannya selaras dengan kerangka tadbir urus, peraturan kewangan serta perundangan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Mindef turut memberi perhatian serius terhadap implikasi pembekuan itu ke atas perolehan sedia ada, termasuk kontrak yang telah dimeterai, dengan mengambil kira obligasi kontrak, keperluan operasi semasa dan kepentingan keselamatan negara secara menyeluruh.
“Dalam masa yang sama, keutamaan kementerian adalah memastikan kesiapsiagaan ATM kekal terpelihara dan tidak terjejas,” katanya.
Tambah beliau, seiring pengumuman yang dibuat awal minggu ini, Mindef juga sedang meneliti langkah-langkah penambahbaikan proses perolehan bagi memperkukuh tadbir urus serta mengelakkan sebarang ketirisan pada masa hadapan.
Terdahulu, Kosmo melaporkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembekuan itu dilaksanakan oleh kerajaan sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Beliau dilapor berkata, kerajaan melalui kementerian terlibat malah akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada. – KOSMO! ONLINE














