GEORGE TOWN – Masjid Habib di Bandar Tanjong Pinang di sini secara rasmi diisytiharkan sebagai Masjid Daerah Timur Laut, hari ini.
Pengisytiharan dan perasmian masjid berkenaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dengan diiringi Timbalan Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata, pembinaan Masjid Habib adalah kesinambungan hasrat arwah ayahnya, Allahyarham Datuk Habib Mohamed Abdul Latif untuk membina sebuah masjid di kampung halaman keluarganya di Pulau Pinang.
“Masjid ini terbina daripada impian arwah ayah saya yang ingin melihat sebuah masjid didirikan di Pulau Pinang yang merupakan kampung halaman keluarga kami,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian dan pengisytiharan Masjid Habib sebagai masjid daerah Timur Laut di sini, hari ini.
Menurut Meer Habib, masjid yang mula dibina pada 2022 itu menelan kos keseluruhan kira-kira RM30 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kumpulan Habib, di atas tanah wakaf seluas kira-kira dua ekar milik MAINPP.
“Masjid Habib mampu menampung kira-kira 1,600 jemaah pada satu-satu masa dan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk bilik kuliah serta dewan serbaguna yang boleh digunakan untuk majlis ilmu, program kemasyarakatan dan acara seperti akad nikah, khususnya bagi golongan muda,” katanya.
Meer Habib berkata, Masjid Habib bukan sekadar tempat ibadah sebaliknya berperanan sebagai pusat komuniti yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang, selain menjadi medium dakwah dan pengenalan keindahan Islam kepada pelancong bukan Islam.
“Hasrat kami ialah untuk melihat masjid ini sentiasa dimakmurkan dengan aktiviti keagamaan, pengajian al-Quran dan program kerohanian, lebih-lebih lagi menjelang ketibaan Ramadan tidak lama lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, tapak Masjid Habib ini mempunyai latar belakang sejarah yang unik di mana tanah seluas kira-kira 2.19 ekar ini merupakan tanah serahan daripada pemaju Eastern & Oriental Berhad (E&O) sebagai sebahagian daripada syarat Pelan Kebenaran Merancang bagi pembangunan projek pulau buatan yang dinamakan sebagai Pulau Andaman.
“Tanah ini telah didaftarkan atas nama MAINPP pada 5 Mei 2004 sebagai Lot PT 702, Seksyen 1, Tanjung Tokong, khusus bagi tujuan pembinaan masjid.
“Alhamdulillah, kawasan yang satu ketika dahulu kosong kini telah berubah menjadi sebuah rumah Allah yang memberi manfaat besar kepada umat Islam,” katanya. – KOSMO! ONLINE














