SEPANG – Polis masih menjalankan siasatan berhubung beberapa kejadian tembak yang dilaporkan berlaku di negeri ini dengan perkembangan siasatan dilaporkan menunjukkan hasil positif.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini, hasil siasatan tidak akan dikongsi bagi mengelak siasatan terganggu.
“Saya memahami keputusan itu tidak kelihatan, namun percayalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan tugas itu. Semua siasatan kes tembak mati pada tahun lalu masih berjalan, aktif serta tidak ditutup.
“Beri kami (PDRM) ruang dan masa yang secukupnya, insya-Allah ada hasil yang positif. Kami akan memberikan yang terbaik kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya menyiasat setiap aspek tidak hanya menjurus kepada gengsterisme sahaja. Oleh itu beliau meminta semua pihak supaya memberi keyakinan tinggi kepada PDRM bagi menyelesaikan semua kes tembak yang berlaku di Selangor.
Pada majlis tersebut, Asisten Komisioner M. Ravi dilantik sebagai Ketua Polis Daerah KLIA yang baharu menggantikan Senior Asisten Komisioner Azman Shari’at yang kini menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Latihan/Peperiksaan/Kompentensi), Jabatan Pengurusan Bukit Aman. – KOSMO! ONLINE














