KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan kegiatan ‘geng pukau’ yang dipercayai aktif mencuri dengan penahanan empat warga Iran di sebuah kondominium di sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keempat-empat mereka yang ditahan berusia 18 hingga 35 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita.
Menurutnya, semakan mendapati dua daripada mereka merupakan adik-beradik, manakala dua lagi mempunyai talian persaudaraan.
“Taktik sindiket ini adalah dengan mendekati dan berinteraksi sebelum mangsa dipercayai menjadi khayal seterusnya melarikan barangan berharga milik mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, hari ini.
Dalam majlis itu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Cheras yang baharu menggantikan Senior Asisten Komisioner Aidil Bolhassan.
Mengulas lanjut, Fadil berkata, setakat ini empat kes telah dikenal pasti dengan kejadian terbaharu dilaporkan berlaku pada 9 Januari lalu.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek memasuki Malaysia pada Jun tahun lalu. Anggaran kerugian dialami mangsa termasuk warga tempatan dan asing melebihi RM30,000,” jelasnya.
Tambahnya, kesemua suspek masih direman dan dijangka dituduh di mahkamah minggu hadapan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














