PETALING JAYA – Festival Anifest bakal meneruskan penganjuran bersama Zoom Kartun 2026 dalam meraikan dunia komik, kartun dan animasi tempatan pada 31 Januari sehingga 1 Februari ini di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur.
Penganjuran kali ini merupakan platform inklusif yang meraikan kepelbagaian ekspresi seni visual merangkumi karya manual, digital serta teknologi kontemporari, selari dengan aspirasi integrasi seni kreatif dan pembangunan industri kreatif tempatan.
Menurut pihak penganjur, Zoom Kartun 2026 bukan sahaja bertujuan mempromosikan karya dan bakat tempatan, malah berfungsi sebagai ruang pertemuan antara pengkarya, peminat, pengumpul komik serta komuniti seni kreatif untuk berinteraksi dan berkongsi idea.
“Zoom Kartun 2026 adalah ruang untuk semua pelukis, kartunis, animator, kolektor, peminat dan keluarga. Kami mahu masyarakat melihat bagaimana seni komik dan kartun berkembang melalui integrasi idea, teknologi dan budaya.
“Melalui Zoom Kartun, kami ingin membuka ruang yang mesra komuniti, meraikan kepelbagaian latar belakang dan medium seni dengan semangat kebersamaan. Ini selari dengan motto Anifest iaitu ‘Semuapun Kawan!’,” katanya.
Katanya, Zoom Kartun 2026 juga menyokong usaha memperkukuh ekosistem seni kreatif negara dengan menghubungkan seni komik dan kartun kepada elemen pendidikan, teknologi dan keusahawanan kreatif.
Sebuah pertandingan lukisan secara langsung di atas pentas bakal menghimpunkan artis kartun terpilih sekali gus mengetengahkan tema warisan, identiti tempatan dan kreativiti visual bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Orang ramai dijemput hadir untuk merasai sendiri pengalaman seni komik dan kartun dalam suasana yang santai, interaktif dan mesra keluarga. – KOSMO! ONLINE














