KUALA LUMPUR – UMNO selaku parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan dinasihatkan agar membantu mempercepatkan proses pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik bagi memastikan sistem politik negara lebih telus, bersih dan berintegriti.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, berkata, akta tersebut penting bagi memastikan setiap sumbangan politik direkodkan secara jelas dan boleh diaudit.
Menurutnya, ketelusan dalam pendanaan politik bukan bertujuan untuk menghukum mana-mana pihak, sebaliknya bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi.
“Setiap dana yang masuk mesti diketahui sumbernya, setiap penderma mesti jelas identitinya,” katanya dalam ucapan dasar Wanita UMNO.
Noraini menegaskan, UMNO tidak perlu takut kepada ketelusan kerana parti itu berhasrat untuk berubah dan melakukan pembaharuan secara menyeluruh.
Katanya, hanya pihak yang mempunyai sesuatu untuk disembunyikan akan berasa gusar terhadap pelaksanaan RUU berkenaan.
Tambahnya, RUU Pendanaan Politik bukan sekadar undang-undang, tetapi lambang kematangan politik dan komitmen terhadap tadbir urus yang baik.
Beliau berkata, UMNO perlu menunjukkan kepimpinan dengan menyokong undang-undang tersebut sebagai sebahagian daripada transformasi parti.
“Politik yang bersih adalah warisan terbaik untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau menambah, akta tersebut juga mampu menutup ruang kepada amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam politik.
Katanya, Wanita UMNO akan terus konsisten memperjuangkan agenda integriti demi memastikan politik Malaysia bergerak ke arah yang lebih beretika.
Beliau berharap kerajaan dapat mempercepatkan usaha menggubal dan meluluskan Akta Pendanaan Politik demi masa depan demokrasi negara. – KOSMO! ONLINE














