fbpx
SOH WAI CHING

Wai Ching pimpin cabaran Merdeka 118

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Juara dunia larian menara, Soh Wai Ching meneruskan momentum luar biasanya apabila mengetuai pendakian khas ke puncak Menara Merdeka 118 sejurus selesai mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) di Exchange 106, pada sebelah pagi semalam.

Pendakian sempena Sambutan Hari Naik Tangga Kebangsaan 2026 itu menyaksikan Wai Ching sekali lagi menjadi tumpuan apabila mengetuai cabaran anjuran PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV), sekali gus menyerlahkan keupayaannya mengekalkan tahap ketahanan fizikal dan mental dalam tempoh singkat.

Program berprofil tinggi itu bukan sahaja menonjolkan Merdeka 118 sebagai bangunan kedua tertinggi di dunia, malah membawa mesej gaya hidup aktif serta kepentingan disiplin dan daya tahan, nilai yang sinonim dengan perjalanan karier Wai Ching di pentas dunia.

Pendakian tersebut disertai seramai 20 peserta termasuk Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Datuk Izwan Ibrahim, barisan ketua jabatan serta pemegang taruh utama presint Merdeka 118 dengan Wai Ching berperanan sebagai peneraju utama cabaran.

Menurut Izwan, kehadiran Wai Ching mencerminkan falsafah Merdeka 118 yang percaya setiap kemajuan bermula dengan satu langkah yang konsisten dan berdisiplin.

“Di Merdeka 118, kami percaya setiap kemajuan bermula dengan satu langkah. Pendakian hari ini bersama Soh Wai Ching, juara dunia dari Malaysia, mencerminkan semangat disiplin, ketahanan dan usaha berpasukan untuk terus mara.

“Kami juga teruja untuk mengalu-alukan pengunjung ke The View at 118, yang bakal menjadi dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara,” katanya.

Izwan turut memaklumkan The View at 118 yang dijadual dibuka pada suku ketiga 2026 bakal menjadi dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara, menawarkan pemandangan 360 darjah Kuala Lumpur dari aras tertinggi menara berkenaan.

Penglibatan Wai Ching dalam program itu melengkapkan hari luar biasanya apabila lebih awal mencipta sensasi dengan memecahkan rekod MBOR di Exchange 106 selepas mencatat masa di bawah 14 minit, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai pelari No.1 dunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN