JAGUH pelari menara negara, Soh Wai Ching sekali lagi mengukuhkan statusnya sebagai pelari No. 1 dunia apabila mencipta rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) selepas menakluk The Exchange 106, cabaran disifatkannya antara paling mencabar sepanjang karier.
Menurut Wai Ching, misi itu bukan sekadar ujian fizikal, sebaliknya pertarungan mental apabila dia ‘berlawan dengan tangga’ dari tingkat pertama hingga ke puncak Exchange 106, antara bangunan tertinggi di Kuala Lumpur.
“Hari ini memang sangat susah. Ini bukan kejohanan biasa. Saya betul-betul lawan tangga sahaja,” katanya.
Pelari berusia 30 tahun itu mengakui sokongan sepanjang laluan menjadi sumber kekuatan utama, terutama ketika tubuh mula menuntut rehat dalam pendakian ekstrem tersebut.
“Nasib baik ada supporter. Setiap 20 tingkat ada polis bantuan yang bagi sokongan sebab mereka selalu latihan dengan saya di sini. Itu yang buat saya terus bertahan,” ujarnya.
Rekod MBOR itu menjadi lebih bermakna kerana had masa ditetapkan di bawah 14 minit, sedangkan catatan latihan terbaik peribadinya sebelum ini hanyalah 14 minit 20 saat.
“Kalau lebih 14 minit, memang tak berjaya. Rekod ini bukan senang, masa latihan terbaik saya pun 14 minit 20 saat, jadi saya memang tahu cabaran ini sangat besar,” jelasnya.
Detik paling getir dirasai seawal separuh perjalanan apabila masa melepasi tujuh minit di tingkat 57, memaksa Wai Ching menolak had kemampuan tubuh sehingga ke garisan penamat.
Rekod di The Exchange 106 itu menjadi pembuka tirai tahun 2026 buat Wai Ching yang menyasarkan enam rekod MBOR dalam tempoh setahun.
“Sasaran saya tahun ini enam Malaysia Book of Records. Sekarang dah dapat satu, tinggal lima lagi. Objektif saya nak cabar limitasi manusia dan tengok sejauh mana kita mampu mendaki bangunan di dunia,” katanya.
Kejayaan manis itu turut melengkapkan sensasi antarabangsa Wai Ching selepas menjuarai Cinda International Financial Centre Run Up di Shanxi, China dengan catatan 7 minit 49 saat, menjadi pelari pertama memecahkan had lapan minit di lokasi berkenaan.














