PETALING JAYA – Perkongsian seorang guru di TikTok mencuri perhatian ramai selepas memaparkan pengalaman mencemaskan pada hari kedua sesi persekolahan apabila seorang murid tadika cuba melarikan diri dari kawasan sekolah, Selasa lalu.
Menerusi hantaran @Shalailaaaa, guru tersebut memaklumkan kejadian berlaku dalam tempoh singkat sebelum disedari pihak sekolah, sekali gus mencetuskan situasi kejar-mengejar antara guru dan murid berkenaan.
Bagaimanapun, katanya selepas dua minit murid tersebut berjaya ditahan dan dibawa masuk semula ke kawasan tadika dengan selamat.
“Alhamdulillah, dua minit kes tutup,” tulisnya secara berseloroh di ruang kapsyen video yang dimuat naik semalam.
Aksi mengejar kanak-kanak itu turut dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah blok kediaman berdekatan tadika berkenaan.
Rakaman berkenaan menunjukkan guru terbabit berlari mengejar murid tersebut di kawasan blok kediaman berhampiran tanpa sempat memakai kasut dan kemudian diikuti seorang lagi tenaga pengajar sebelum berjaya menahannya dalam masa kira-kira dua minit.
“Hari pertama, semuanya (murid) baik-baik. Hari kedua, cikgu semput, ingat masuk tadika, rupanya larian pagi. Hari kedua sekolah budak lari sampai blok sebelah dan naik tingkat dua. Selipar terbang sebab orang kata lari kaki ayam lagi laju,” kata guru tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa lega apabila murid tersebut berjaya ditahan dengan cepat selain memuji tindakan pantas guru berkenaan.
“Tahniah cikgu. Laju tindakan, walaupun berkain tetap berjaya tahan budak dengan pantas. Inilah ujian guru-guru tadika. Banyak ragam-ragam nak sesuaikan mereka dengan suasana sekolah,” kata Ayuni.
Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman sama apabila bertugas sebagai guru tadika dan menganggap situasi seperti itu sebagai cabaran mendidik anak-anak kecil.
“Saya pernah kejar budak lari balik rumah dia (tadika dalam taman perumahan). Cikgu lain pula kejar saya, tak bagi saya kejar budak tu sebab masa tu saya mengandung. Risau nanti cikgu pula yang terberanak,” kongsi Ayu Zdin.
“Tadi (semalam) saya baru kejar anak prasekolah saya, habis dengan cikgu, tukang kebun, pengawal selalu kejar,” kata @account_delete20. – KOSMO! ONLINE
@shalailaaaa Day 1 : Yeayyyy anak2 behave 🥰🥳 Day 2 : TCER SEMPUT WOIII 😮💨 Ingat masuk tabika… Rupanya masuk acara larian pagi 🏃♂️🏃♀️ Hari ke-2 sekolah, budak lari sampai blok sebelah + naik tingkat 2 😂 Selipar terbang sebab orang kata lari kaki ayam lagi laju 😭🤣 Alhamdulillah 2 MINIT, KES TUTUP 🤝 #school2026 #tabikakemas #core #ragamanak #fypシ゚viral ♬ original sound – Shalailaaaa 🌸














