fbpx
Noraini ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2025 di Dewan Tun Hussein Onn, WTC, hari ini.

UMNO bukan sekadar ‘pak turut’ dalam Kerajaan Perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO menegaskan bahawa penyertaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan bukan sebagai ‘pak turut’ atau sekadar pelengkap dalam pentadbiran negara.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kerjasama politik yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah satu realiti baharu yang perlu dihadapi dengan kematangan dan kebijaksanaan politik.

Menurutnya, UMNO menerima hakikat landskap politik negara yang tidak lagi didominasi oleh satu parti, sekali gus menuntut semua pihak berkompromi demi kestabilan negara.
Tegasnya, kompromi politik tidak bermaksud UMNO mengorbankan prinsip, perjuangan dan pendirian parti yang telah dibina sejak sekian lama.

“UMNO bukan parti yang menumpang. Kita ada sejarah, pengalaman dan kekuatan sendiri dalam membentuk dasar serta hala tuju negara,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2025 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa UMNO kekal sebagai parti yang berani menyatakan pendirian, termasuk dalam isu melibatkan kepentingan rakyat dan masa depan negara.

Tambahnya, UMNO tidak akan menutup pintu kepada kerjasama politik, namun dalam masa sama tidak akan menjadi terlalu terbuka seluas-luasnya sehingga menggadaikan jati diri parti.

Katanya, kerjasama politik perlu dilihat sebagai medan untuk UMNO terus memimpin dan menyumbang kepada rakyat, bukannya tanda kelemahan parti.

Noraini mengingatkan ahli-ahli parti agar tidak terperangkap dengan sentimen emosi atau nostalgia lampau, sebaliknya fokus kepada tawaran masa hadapan untuk menambat kepercayaan rakyat.

“UMNO mesti tampil sebagai parti yang jelas pendiriannya, tegas prinsipnya dan matang dalam membuat keputusan,” katanya.

Beliau turut menegaskan Wanita UMNO akan terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan parti dalam memastikan UMNO kekal relevan dan berperanan penting dalam Kerajaan Perpaduan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN