SIENA – Toprak Razgatlioglu mengakui musim pertamanya dalam kancah perlumbaan MotoGP 2026 bakal menjanjikan cabaran yang sangat sukar terutama peralihan menyesuaikan diri dengan jentera Pramac Yamaha.
Walaupun t impiannya beraksi di pentas tertinggi akhirnya tercapai, juara dunia World Superbike (WSBK) tiga kali itu bersikap realistik mengenai tugas beratnya sepanjang tahun ini.
Razgatlioglu yang membuat penampilan sulung dengan warna rasmi Pramac Yamaha di Siena, Itali semalam, mendedahkan perbezaan antara jentera WSBK dan MotoGP memerlukan dia melakukan perubahan drastik, terutamanya dari aspek gaya tunggangan.
“Musim ini akan menjadi sangat sukar. Ini kali pertama saya menunggang jentera MotoGP sepenuh masa dan selepas bertahun di Superbike, perasaannya sangat berbeza. Tetapi saya akan cuba lakukan yang terbaik,” katanya.
Pelumba kelahiran Turkiye itu turut menyuarakan rasa puas hati dengan proses pembangunan jentera Yamaha V4 sambil memuji rakan sepasukannya, Jack Miller yang banyak membantu proses adaptasi tersebut.
Dalam pada itu, Razgatlioglu menjelaskan bahawa ‘gaya Toprak’ sepenuhnya mungkin tidak dapat diterapkan pada musim 2026 memandangkan dia perlu mengutamakan kelajuan di selekoh berbanding brek lewat, bergantung kepada sesetengah litar.
Bagaimanapun, Razgatlioglu membayangkan tahun 2027 mungkin menjadi detik sebenar potensinya seiring dengan pengenalan tayar Pirelli di MotoGP menggantikan Michelin.
“Saya perlu membawa gaya saya, tetapi bukan tahun ini. Tahun depan saya fikir 90 peratus akan kembali dengan gaya asal saya apabila lebih memahami jentera ini.
“Buat masa ini saya perlu melakukan sedikit campuran gaya tunggangan. Ubah suai gaya bukan mudah, tetapi saya perlu lakukannya demi pasukan dan perjalanan karier,” jelasnya. – AGENSI














