MANCHESTER – Pengurus baharu Manchester United, Michael Carrick memberi jaminan kepada peminat bahawa falsafah bola sepak yang bakal diterapkan nanti tidak membosankan selepas menandatangani kontrak sehingga penghujung musim ini.
Menurut Carrick, fokus utama adalah untuk memenangi perlawanan tetapi dalam masa sama mahu barisan pemain menampilkan corak permainan agresif yang sesuai dengan budaya bola sepak di United.
“Kita mahu menang perlawanan dan ini adalah perkara paling jelas. Ada banyak cara untuk melakukannya bergantung kepada situasi perlawanan.
“Saya percaya kita boleh bermain bola sepak menarik dan positif. Saya mahu ada perasaan teruja menonton mereka di padang.
“Secara keseluruhan, saya optimis dapat membantu pemain jadi lebih baik serta meningkatkan kualiti pasukan dan tidak sabar untuk bermula,” katanya.
Sementara itu, pengarah bola sepak United, Jason Wilcox yakin pelantikan Carrick tepat pada masanya kerana beliau adalah jurulatih yang dianggap salah seorang legenda The Red Devils dan mampu membantu pasukan kembali stabil selepas bergelut musim ini.
“Carrick adalah jurulatih yang hebat dan tahu apa yang diperlukan untuk menang di United. Dia cukup bersemangat untuk bantu pasukan kembali fokus pada saingan musim ini,” katanya.
Sebagai rekod, Carrick berjaya menewaskan seorang lagi legenda United, Ole Gunnar Solskjaer untuk mengisi kekosongan pengurus interim United selepas Ruben Amorim dipecat, minggu lalu. – AGENSI














