fbpx
Chongqing Airlines mengumumkan pelancaran penerbangan berjadual terus antara Chongqing dan Pulau Pinang bermula 8 April ini.

Penerbangan terus Chongqing-Pulau Pinang mulai 8 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Chongqing Airlines mengumumkan pelancaran penerbangan berjadual terus antara Chongqing dan Pulau Pinang bermula 8 April ini.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, penerbangan tersebut membuka lembaran baharu dalam pengukuhan hubungan pelancongan antara Pulau Pinang dan wilayah Barat China.

Menurutnya, penerbangan berjadual itu adalah hasil usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh pasaran di China serta meningkatkan kesalinghubungan udara antarabangsa Pulau Pinang.

“Penang Global Tourism (PGT) baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bersama Chongqing Airlines di Chongqing yang disaksikan saya sendiri sekali gus memeterai kerjasama strategik dalam sektor penerbangan dan pelancongan.

“Seawal September 2024, saya telah mengetuai delegasi kerajaan negeri Pulau Pinang ke Chongqing bagi melaksanakan program promosi pelancongan. Pada masa itu, penerbangan sewaan Firefly antara Chongqing dan Pulau Pinang diperkenalkan dan ia menjadi asas kukuh kepada pelancaran penerbangan berjadual hari ini,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, penerbangan terus itu merupakan satu perkembangan yang amat membanggakan dan signifikan kepada industri pelancongan negeri.

“MoC ini amat bermakna kerana Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang menjalin kerjasama rasmi dengan Chongqing Airlines.

“Ia merupakan satu langkah penting dan bersejarah dalam usaha memperluas pasaran di China serta memperkukuh pertukaran pelancongan antara Malaysia dan China,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama itu merangkumi inisiatif pemasaran bersama, penjenamaan destinasi, kajian kebolehlaksanaan laluan, pembangunan pasaran sumber serta integrasi sumber berkaitan bagi memastikan laluan penerbangan itu mampan dan stabil dalam jangka panjang.

“Chongqing mempunyai populasi hampir 32 juta penduduk dan merupakan hab penerbangan utama di Barat China. Potensi pasaran pelancongan keluar yang besar ini pastinya memberi manfaat besar kepada sektor pelancongan Pulau Pinang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN