PENGARAH Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen menuntut barisan pemain negara agar tidak mensia-siakan peluang keemasan berlatih bersama jaguh dunia yang kini ‘berkampung’ di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Jonassen menyifatkan kehadiran pemain bertaraf bintang di pusat latihan negara itu mampu dijadikan sebagai peluang mendapatkan rakan sparring lebih berkualiti.
Katanya, berlatih dengan pemain terbaik dunia memberi nilai tambah terutama permainan pengalaman pemain senior mahupun remaja dalam memahami tuntutan di peringkat tertinggi.
“Minggu ini kita bertuah kerana Anders Antonsen, pemain nombor tiga dunia ada di sini untuk menjadi rakan sepelatih skuad perseorangan lelaki negara. Ia adalah peluang hebat untuk pemain muda kita belajar sesuatu,” katanya.
Ia adalah kesinambungan sesi minggu lalu yang menyaksikan kehadiran jaguh antarabangsa termasuk Christo Popov dan Toma Junior Popov dari Perancis, Rasmus Gemke (Denmark) serta bintang India, Lakshya Sen yang kekal di Kuala Lumpur selepas tamat Terbuka Malaysia.
Menurut Jonassen, kepelbagaian corak permainan dibawa pemain-pemain luar ini memberi pendedahan yang jarang dapat dirasai dalam latihan domestik biasa.
“Ia adalah satu campuran pemain ternama yang baik dengan gaya permainan berbeza. Kesemua mereka memberi banyak input berguna kepada pemain remaja kita,” jelasnya.
Pengendali dari Denmark itu menegaskan, pendedahan elit ini adalah sebahagian pelan jangka panjang bagi memantapkan skuad perseorangan menjelang 2026, dengan elemen konsistensi menjadi penanda aras utama.
“Satu perkara adalah menang menentang pemain ranking lebih tinggi dan tidak tewas kepada pemain ranking rendah tetapi kunci yang paling utama adalah konsistensi,” jelasnya.
Tambahnya, latihan di ABM kini dirangka untuk meniru tekanan kejohanan sebenar, di mana pemain dituntut mempamerkan prestasi hampir maksimum lima hingga enam hari seminggu walaupun ketika keadaan fizikal sedang keletihan.
Pemain negara turut dibenarkan bermain secara kiraan mata menentang bintang dunia tersebut bagi merasai sendiri tahap kesukaran mencuri mata daripada lawan berkelas elit.














