BUKIT KAYU HITAM – Cubaan seorang lelaki tempatan membawa masuk karkas babi dari Thailand tanpa dokumen import sah berjaya digagalkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di sini, semalam.
Sebanyak 2,000 kilogram (kg) karkas babi bernilai kira-kira RM66,000 itu dikesan cuba dibawa masuk menggunakan sebuah pikap menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 6.30 pagi.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, kenderaan kargo itu ditahan dalam Operasi Khas Pemeriksaan Fizikal yang dijalankan di laluan kenderaan kargo berat Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
“Kenderaan dipandu lelaki berusia lewat 40-an itu diarahkan ke kaunter timbang dan berat kasar direkodkan sebanyak 4,200 kg sebelum diarahkan ke Blok E1 kompleks untuk tujuan pemunggahan dan pemeriksaan penuh.
“Selepas pemeriksaan menyeluruh dijalankan, berat bersih kenderaan direkodkan sebanyak 2,200 kg. Perbezaan berat tersebut menimbulkan syak sebelum membawa kepada penemuan muatan tidak sah yang disahkan sebagai daging babi jenis karkas,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, rampasan dibuat berikutan pengimportan daging babi dari Thailand dilarang sepenuhnya susulan ancaman penyakit demam babi Afrika atau African Swine Fever (ASF).
“Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728). Semua barang rampasan ditahan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Kes direkodkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














