LONDON – Pertahanan sensasi Tottenham Hotspur, Micky van de Ven mula memancing perhatian juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dalam misi mencapai impian berhijrah ke Anfield pada jendela perpindahan yang bakal dibuka Jun depan.
Difahamkan, Van de Ven sedia untuk menawarkan diri dengan menggunakan kaedah ‘pintu belakang’ kerana terdesak menyarung jersi The Reds sekali gus bergandingan dengan rakan senegaranya, Virgil van Dijk di posisi pertahanan tengah.
Namun, Van de Ven terpaksa bersaing dengan seorang lagi pertahanan yang mendapat perhatian pengurusan Liverpool lebih awal, Marc Guehi memandangkan dia boleh ditandangani secara percuma selepas kontraknya bersama Crystal Palace berakhir musim ini.
Menurut laporan, skuad bimbingan pengendali dari Belanda, Arne Slot itu sangat berminat dengan kualiti Van de Ven kerana sesuai dengan falsafah bola sepak yang diterapkannya.
Selain itu, Slot menilai Van de Ven sebagai calon terbaik untuk menjadi pengganti kepada Van Dijk yang dianggap berada penghujung karier memandangkan usianya mencecah 35 tahun selain kontraknya turut berakhir pada tahun depan.
Namun, apa yang menjadi masalah buat Liverpool ketika ini adalah tanda harga diletakkan Spurs ke atas pemain berusia 25 tahun itu masih tinggi apabila mencecah £44 juta (RM239.7 juta) jika ada pasukan yang berminat.
Posisi pertahanan sering menjadi isu besar buat Liverpool ketika ini apabila seorang lagi tonggak berpengaruh, Ibrahima Konate gagal mempamerkan aksi konsisten dengan kontraknya bakal tamat pada penghujung musim ini. – AGENSI














