LONDON – Bintang baharu Tottenham Hotspur, Conor Gallagher berikrar untuk memulihkan maruah pasukan itu yang kini bergelut di bawah kendalian Thomas Frank dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Sebagai rekod, Spurs telah mengeluarkan dana sebanyak £34.6 juta (RM188.18 juta) untuk menandatangani khidmat Gallagher daripada kelab La Liga, Atletico Madrid dengan kontrak sehingga penghujung musim 2031.
Menurut Gallagher, keputusan untuk kembali dalam kancah EPL sangat mudah untuk dilakukan selepas gagal mendapat tempat dalam skuad utama Atletico apabila hanya membuat empat penampilan pada saingan musim ini.
Bekas pemain tengah Chelsea itu berkata, Spurs boleh menjadi batu loncatan buatnya untuk kembali berada dalam radar skuad kebangsaan England dalam misi diserap ke Piala Dunia 2026 pada Jun depan.
“Ini adalah fasa baharu dalam karier saya dan sudah tentu saya mahu cipta kenangan manis di sini. Spurs adalah kelab yang luar biasa dan saya harap dapat bantu pasukan bangkit pada baki saingan musim ini,” katanya. – AGENSI














