TUMPAT – Cubaan dua wanita yang juga adik-beradik menyeludup sebanyak 250 liter petrol menggunakan taktik isian secara berulang dengan menggunakan kereta Proton Wira gagal apabila mereka ditahan di Kampung Jubakar Darat di sini semalam.
Kedua-dua mereka ditahan pada pukul 1.57 tengah hari selepas anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengekori kereta tersebut.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota KPDN mengesan sebuah kereta membuat isian secara berulang di sebuah stesen minyak.
Menurutnya, anggota bertugas terus mengekori kereta tersebut sebelum menahannya di Kampung Jubakar Darat di sini.
“Pemeriksaan di dalam but kereta dinaiki kedua-dua wanita itu membawa kepada penemuan sebanyak lima tong jerikin disyaki berisi 125 liter minyak petrol.
“Selain itu, anggota KPDN turut menemukan tangki minyak kereta tersebut dipercayai telah diubah suai bagi tujuan penyimpanan sebanyak 125 liter lagi petrol,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Aswadi memberitahu, hasil siasatan mendapati, kedua-dua wanita itu mempunyai hubungan kekeluargaan iaitu kakak dan adik.
Menurutnya, kedua-dua individu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE














