fbpx
Jabatan Imigresen menahan seorang ejen sedang melakukan transaksi penyerahan seorang pembantu rumah kepada majikan di sebuah premis makanan.

Derita amah Indonesia jadi ‘hamba’ berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Derita dua warga Indonesia termasuk didera secara fizikal selepas menjadi buruh paksa dan pemerdagangan orang berakhir selepas diselamatkan dalam dua operasi di Kapar dan Bukit Jelutong di sini, baru-baru ini.

Kedua-duanya berusia 38 dan 54 tahun yang masing-masing bekerja sebagai amah diselamatkan dalam operasi pada 6 dan 12 Januari lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, siasatan mendapati mereka telah dieksploitasi oleh sindiket ejen pembantu rumah tidak berdaftar yang beroperasi secara haram.
Menurut beliau, mangsa pertama yang diselamatkan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah, namun dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah dan dibebani hutang kos perjalanan sebanyak RM3,000.

“Bayaran tersebut perlu dilunaskan melalui potongan gaji bulanan, manakala majikan pula dikenakan bayaran RM8,000 oleh ejen sindiket.

“Sindiket terbabit menawarkan perkhidmatan pembantu rumah menerusi aplikasi WhatsApp dengan menjanjikan gaji bulanan RM1,500 kepada pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi kedua di Bukit Jelutong pula mendapati mangsa dipaksa bekerja di sebuah kediaman yang diubah suai menjadi premis perniagaan makanan.

Salah seorang amah yang diselamatkan dalam operasi dilaksanakan Jabatan Imigresen di sekitar Kapar dan Bukit Jelutong.

Tambahnya, mangsa dipercayai bekerja hampir sebulan selepas diserahkan oleh ejen kepada majikan dengan bayaran mencecah RM14,000.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dipaksa bekerja melebihi tempoh masa ditetapkan, manakala pasport dan telefon bimbitnya dipegang oleh sindiket sehingga terputus hubungan dengan ahli keluarga.

“Mangsa juga mengalami trauma akibat penderaan fizikal dan mental serta pergerakan yang dikawal ketat,” tegasnya.

Susulan itu, Zakaria menjelaskan, dua warga tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Ini termasuk seorang ejen berusia 38 tahun yang sedang melakukan transaksi penyerahan seorang pembantu rumah kepada majikan di sebuah premis makanan.

“Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN