TAIPING – Polis mengesahkan dakwaan penderaan melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun yang tular di media sosial sejak semalam adalah tidak berasas selepas pemeriksaan fizikal mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pemeriksaan awal telah dijalankan oleh pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping sejurus maklumat berkenaan tersebar, namun hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang unsur penderaan.
“Pemeriksaan terhadap kanak-kanak itu mendapati tiada kesan lebam, luka atau tanda-tanda kecederaan fizikal pada tubuh mangsa. Bahkan, setakat ini polis juga tidak menerima sebarang laporan rasmi berkaitan dakwaan tersebut daripada mana-mana pihak.
“Sekiranya terdapat laporan baharu atau maklumat tambahan yang mencurigakan, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk membawa kanak-kanak berkenaan ke hospital bagi pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Taiping serta Pengerusi Perkep Daerah Taiping di Dewan Serbaguna IPD Taiping hari ini.
Noor Hisam berkata, kanak-kanak itu ditemui di Stesen Kereta Api Taiping dan dipercayai berasal dari kawasan sekitar Taiping.
“Difahamkan neneknya menetap di Anak Bukit, Kedah. Buat masa ini, kita masih belum dapat memastikan tujuan sebenar kanak-kanak itu berada di stesen berkenaan sama ada untuk menaiki kereta api pulang ke Kedah atau sebaliknya,” katanya.
Mengulas mengenai Majlis Serah Terima Tugas, beliau berkata, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail bersara wajib mulai 16 Januari dan posisinya telah diganti dengan Asisten Komisioner Abdul Malek Ismail.
“Mohamad Nasir secara rasminya akan menjalani persaraan wajib di usia 60 tahun esok selepas beliau mencurahkan khidmat bakti kepada pasukan selama lebih kurang 37 tahun bermula 1989 sebagai seorang konstabel, sebelum dilantik menjadi seorang Inspektor Percubaan pada 1991,” katanya. – KOSMO! ONLINE














