SHAH ALAM – Kegagalan bekas pegawai bank melaporkan pemberian rasuah RM4,520 dalam urusan pinjaman perumahan membawa padah apabila didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Rais Mohamed Ramli, 45, mengaku salah atas pertuduhan pilihan dibacakan kepadanya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan sekiranya tidak membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
Mohd. Rais didakwa telah secara rasuah menerima RM4,520 melalui akaun bank isterinya daripada sebuah firma guaman sebagai upah membantu membantu firma guaman tersebut diberikan rujukan kes melibatkan urusan pinjaman perumahan dengan tempatnya tertuduh bekerja melalui kakitangan dibawah seliannya
dengan melanggar peruntukan Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Tertuduh juga tidak melaporkan tanpa halangan munasabah pemberian suapan tersebut kepada pegawai SPRM atau polis.
Kesalahan itu dilakukan di cawangan bank di Taman Sri Gombak pada 12 Ogos 2021.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 25 (2) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sharina Farhana Nor Sa’ari manakala tertuduh diwakili Peguam Chua Yong Yi. – KOSMO! ONLINE














