MELAKA – Seorang bekas pengawal keselamatan Pegawai Kewangan Negeri dipenjara tujuh tahun atas kesalahan mencuri dan menjual harta curi termasuk 17 jongkong emas milik pegawai itu bernilai RM254,000, dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Zakuan Abdul Rashid, 35, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan niat mencuri dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman milik Yang Berhormat Datuk Wira Salhah Salleh iaitu wang tunai RM20, seutas gelang emas, dua cincin berbentuk berlian, dua utas gelang berlian dan 17 jongkong emas berat keseluruhan 86 gram.
Kesalahan itu dilakukan antara Jun 2024 dan Disember 2025 di rumah kerajaan Pegawai Kewangan negeri, Bukit Peringgit dalam daerah Melaka Tengah di sini yang digunakan sebagai kediaman Salhah.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya hendaklah dihukum penjara dan denda atau sebatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK).
Tertuduh juga didapati berniaga barang dicurinya itu di Lot 770/6, Lorong Tok Arsat, Batu 11 1/2, Kampung Paya Rumput dan didakwa mengikut Seksyen 413KK yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Terdahulu, tertuduh merayu hukuman ringan, namun Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh dengan mengumpamakan perbuatan lelaki itu seperti ‘harapkan pagar, pagar makan padi’.
“Sebagai pengawal keselamatan di rumah pengadu sejak 2024, tertuduh secara langsung mencabuli, mengkhianati kepercayaan dan amanah yang diberikan untuknya menjaga keselamatan harta benda dan pengadu sendiri yang mempunyai jawatan tinggi dalam Kerajaan Negeri Melaka.
“Ibarat kata pepatah, ‘harapkan pagar, pagar makan padi’, justeru pohon hukuman berat berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan sama kelak,” ujarnya.
Raja Noor Adilla kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan di bawah Seksyen 380KK dan tujuh tahun bagi kesalahan Seksyen 413KK. Hukuman itu bagaimanapun berjalan secara serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 6 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE














