SEREMBAN – Pemergian Pengasas dan Presiden Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Allahyarham Datuk Mohd Farid Ariffin disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada seluruh warga kerja pertubuhan itu yang menganggap arwah sebagai seorang pendidik nilai dan inspirasi.
Ketua Jabatan Perkhidmatan MAKNA, Imelda Suhanti Ishak, 50, berkata, Allahyarham bukan sekadar pengasas organisasi berkenaan, sebaliknya seorang pemimpin yang mendidik kakitangan supaya memahami erti tanggungjawab sebenar dalam membantu pesakit kanser.
“Arwah sangat berjiwa besar dan penuh semangat untuk membantu pesakit kanser. Beliau selalu mengingatkan kami supaya bekerja dengan hati dan sentiasa fikir, tugas ini untuk siapa,” katanya ketika ditemui di Masjid Kariah Labu Hilir, Kampung Labu Hilir di sini, hari ini.
Menurut Imelda, yang telah berkhidmat selama 23 tahun bersama MAKNA berkata, antara pendekatan unik diperkenalkan ialah MCE Homestay (MAKNA Continuous Education Homestay) yang membolehkan kakitangan tinggal bersama pesakit kanser selama tiga hari dua malam bagi merasai sendiri cabaran yang dihadapi pesakit.
“Program ini masih kami praktikkan. Arwah mahu kami faham penderitaan pesakit supaya kerja yang dibuat bukan sekadar untuk menerima gaji, tetapi benar-benar memberi makna,” katanya.
Pada masa sama, Imelda turut menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin yang mengamalkan budaya kerja berteraskan kekeluargaan.
“Beliau buat kami rasa dihargai. Sukar dicari pengganti, tiada galang gantinya,” katanya.
Allahyarham Datuk Mohd Farid Ariffin meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Nilai pada pukul 5.38 petang semalam pada usia 84 tahun. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Siti Mariam Hussein, 83; dua orang anak perempuan iaitu Farahida 59 dan Fararaina 54 serta tujuh cucu. – KOSMO! ONLINE














