fbpx
Mohamad Lazim (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sidang akhbar tangkapan tiga individu terlibat kes penipuan di IPD Wangsa Maju. - Foto oleh SYAKIR RADIN

3 ditahan terlibat sindiket penipuan panggilan telefon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KUALA LUMPUR – Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menumpaskan satu sindiket penipuan panggilan telefon susulan penahanan tiga individu dalam operasi berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pada 10 Januari lalu pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan yang mendakwa telah diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai Pegawai Kanan Polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Beliau berkata, mangsa telah ditakut-takutkan dengan dakwaan kononnya terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.

“Atas arahan suspek, mangsa telah menyerahkan pelbagai barangan berharga bagi tujuan siasatan, yang mengakibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM70,000.

“Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis telah melakukan serbuan pada 11 dan 12 Januari di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya ketika sidang akhbar di IPD Wangsa Maju di sini hari ini.

Katanya, hasil serbuan tersebut, seramai tiga individu warga tempatan yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 28 hingga 46 tahun telah ditahan.

“Pihak polis turut berjaya merampas pelbagai barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan iaitu sebuah motokar jenis Proton Iris, pelbagai barangan kemas (enam utas rantai tangan, satu utas rantai leher, lima bentuk cincin, satu kerongsang).

“Selain itu, turut dirampas dua ketulan emas seberat 172.77 gram, wang tunai, telefon bimbit Samsung A34, beg tangan jenama Happiness, dan lapan keping resit jualan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM132,360,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Susulan daripada tangkapan tersebut, seorang daripada suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 14 Januari di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

“Bagi mengelak orang awam dari terperdaya dan menjadi mangsa sindiket seperti ini, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon yang mencurigakan,” katanya.

Selain itu katanya, pihaknya turut memberi amaran kepada orang ramai, terutamanya pemilik akaun bank agar tidak sesekali meminjamkan atau menyewakan akaun mereka kepada pihak lain untuk tujuan transaksi yang meragukan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik “akaun keldai” (mule account) mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN