LONDON – Era baharu Liam Rosenior bakal diuji pada tahap tertinggi apabila menerima kunjungan Arsenal pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL) di Stamford Bridge awal pagi esok.
Pertembungan dua seteru London itu hadir beberapa hari selepas kedua-duanya melepasi halangan pusingan ketiga Piala FA, namun kali ini taruhannya jauh lebih besar dengan tiket ke Wembley menjadi rebutan.
Chelsea mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan Cardiff City tetapi aksi itu menjadi titik noktah kepada era Enzo Maresca, sekali gus menjadikan pertemuan kali ini sebagai ujian kompetitif sebenar buat Rosenior menentang lawan dari Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kemenangan besar 5-1 ke atas Charlton dalam Piala FA meredakan tekanan, namun Arsenal bakal menjadi ukuran sebenar sama ada perubahan dibawa Rosenior sekadar ‘kesan awal’ atau permulaan kebangkitan sebenar.
Terdahulu, The Blues mempunyai rekod kukuh di peringkat separuh akhir Piala EFL selepas memenangi empat daripada lima kemunculan terakhir, namun satu-satunya kegagalan itu hadir ketika menentang Arsenal pada musim 2017/18.
Statistik semasa pula lebih memihak kepada The Gunners yang tidak tewas dalam lapan pertemuan terakhir menentang Chelsea, selain kali terakhir tumbang di Stamford Bridge berlaku hampir tujuh tahun lalu pada Ogos 2018.
Chelsea tetap memiliki ‘senjata’ di laman sendiri apabila menjaringkan gol dalam 12 perlawanan berturut-turut di Stamford Bridge, namun kestabilan terus menjadi persoalan apabila mereka turut dibolosi dalam tujuh aksi terakhir. – AGENSI














