KUALA PILAH – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini melahirkan kebimbangan terhadap kewujudan pihak yang terus memberikan sokongan kepada individu yang telah disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah yang amat besar.
Tuanku Muhriz bertitah, sokongan berkenaan juga seolah-olah perbuatan rasuah tersebut adalah sesuatu yang boleh diterima dan dimaafkan.
“Beta menegaskan pendirian Beta terhadap gejala rasuah yang dilihat semakin berleluasa dan amat membimbangkan. Rasuah merupakan musuh utama kepada keadilan, amanah dan masa depan negara.
“Beta amat terperanjat dan kecewa apabila masih wujud pihak yang terus memberikan sokongan kepada individu yang telah disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah yang amat besar, seolah-olah 12 perbuatan tersebut boleh diterima dan dimaafkan.
“Sikap sedemikian bukan sahaja mencerminkan kegagalan memahami bahaya rasuah yang meruntuhkan integriti institusi dan asas moral masyarakat, malah menuntut penilaian yang lebih mendalam terhadap akidah, prinsip hidup dan nilai pegangan,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan ke-76 baginda di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Baginda turut menyeru kepada mereka yang masih menyokong penjenayah (rasuah) seperti ini segera bermuhasabah diri serta menilai semula pendirian dan kepercayaan masing masing.- KOSMO! ONLINE














