SHAH ALAM – Cadangan pembinaan pusat penternakan babi moden di Bukit Tagar tidak melibatkan kawasan penempatan penduduk sekali gus tidak menyentuh isu sensitiviti kaum seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, lokasi tersebut merupakan tapak pelupusan sampah, bukannya kawasan kediaman.
Katanya, lokasi itu sememangnya tidak sesuai untuk didiami manusia, sekali gus menjadikannya kawasan paling strategik untuk dibangunkan pusat penternakan babi berteknologi tinggi dan mesra alam.
“Bukit Tagar ini adalah kawasan pengumpulan sampah. Jangan kata orang Melayu, makhluk lain pun tidak sanggup tinggal di kawasan tersebut.
“Di situlah kerajaan negeri mencadangkan untuk dibina pusat penternakan babi moden, berteknologi tinggi dan mesra alam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Izham berkata, perkara itu turut dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan baginda memahami rasional cadangan tersebut.
“Saya telah sembah maklum kepada Sultan Selangor dan baginda amat memahami perkara tersebut. Saya harap isu ini dapat dilihat secara adil, rasional dan menyeluruh, bukannya emosi atau sentimen semata-mata.
“Apa yang diusahakan oleh kerajaan negeri adalah penyelesaian jangka panjang demi kesihatan, kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar, selari dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














