PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat bersidang kepada semua pimpinan dan perwakilan UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 berlangsung bermula hari ini hingga 17 Januari ini.
Anwar menerusi hantaran Facebook turut mendoakan persidangan tersebut di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur berlangsung dengan tertib.
“Dalam landskap politik dan ekonomi kian mencabar, kekuatan sebenar tidak lahir daripada perbezaan yang terus dipicu, sebaliknya daripada kesepaduan yang diperkukuh, kebijaksanaan yang diraikan, serta iltizam bersama untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan negara.
“Malaysia memerlukan politik matang, berteraskan muafakat, saling menghormati dan keupayaan untuk bekerja bersama demi kestabilan, kemakmuran serta masa depan lebih adil dan inklusif buat seluruh rakyat.
“Semoga persidangan kali ini berlangsung dengan tertib, penuh wacana bernas berpaksi pada rakyat, serta menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional demi sebuah Malaysia yang madani,” katanya pada hantaran di media sosial hari ini.
Perhimpunan Agung UMNO 2025 berlangsung bermula hari ini hingga 17 Januari di WTC, Kuala Lumpur selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Sebanyak 6,412 perwakilan mendaftar melibatkan 2,928 orang bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025, Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita (1,165 orang), Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda (1,173 orang) dan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri (1,146 orang). – KOSMO! ONLINE














