fbpx
Jenazah Allahyarham Nik Razizi disembahyangkan di pekarangan Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang hari ini. Foto oleh AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

Selalu abang naik ‘flight’ ke KL, tak sangka terlibat nahas ketika naik MPV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang hari ini semasa ahli keluarga menuntut jenazah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pengangkutan dan pembekalan bahan api yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 55, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh di sini semalam.

Terdahulu, proses bedah siasat Allahyarham Nik Razizi Nik Rahim, 55, bermula pukul 8 pagi selesai pukul 10.45 pagi tadi sebelum pengurusan mayat selesai kira-kira 45 minit kemudian.

Solat jenazah arwah dijalankan kira-kira pukul 11.45 pagi di pekarangan Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang sebelum diserahkan kepada keluarga untuk upacara pengebumian.

Adik ipar arwah, Mukhriz Hassan, 48, berkata, dia bersyukur apabila proses bedah siasat dan pengurusan jenazah selesai.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini selepas solat asar petang ini.

“Kami bersyukur dan reda dengan ketentuan Allah SWT kerana kehilangan seorang abang yang sangat baik dengan ahli keluarga. Kami tidak menyangka perjalanan menaiki kenderaan untuk urusan kerja merupakan detik terakhir buat abang. Sebelum ini, arwah menaiki kapal terbang ke ibu negara untuk urusan kerja,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, hasrat seorang CEO sebuah syarikat pengangkutan dan pembekalan bahan api bersama tiga pekerja untuk menghadiri kursus di ibu negara tidak kesampaian apabila lelaki itu dan dua anak buahnya maut dalam nahas di KM 55, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat RKT Kesedar Paloh di sini.

Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari itu, Nik Razizi bersama dua pekerjanya, Mohamed Saiful Kamaruzaman, 33, dan Nik Azmi Nik Othman, 47, yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah.

Pemandu MPV itu, Nik Mohd. Faizol Nik Abd. Aziz, 42, yang merupakan pembantu am atau pengisi minyak (refueller) bagi syarikat tersebut selamat apabila mengalami kecederaan pada bahagian kaki, paha dan kepala.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN