fbpx
Gambar hiasan

Rundingan 40 peratus hasil Sabah sudah dimulakan – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Kerajaan komited melaksanakan keputusan berkaitan pemberian 40 peratus hasil kepada Sabah yang mana proses perbincangan rasmi telah dimulakan seperti diarahkan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, turut dibincangkan hari ini termasuk status pelaksanaan keputusan mahkamah serta perkembangan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

“Saya juga telah mendapatkan pengesahan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan mengenai jumlah mesyuarat yang telah diadakan dalam tempoh 90 hari yang mana 90 hari daripada keputusan Mahkamah Tinggi Puteri Kinabalu itu berakhir pada hari ini.

“Dan dalam tindakan adalah mesyuarat kedua yang akan diadakan pada bulan ini, maksudnya dalam satu ke dua minggu ke depan ini antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan juga seterusnya kerajaan negeri Sabah sebagai lanjutan kepada perbincangan awal yang telah diadakan pada November lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud akan memperincikan kedudukan dan hala tuju rundingan itu dalam masa terdekat.

Menurutnya, Jemaah Menteri telah diingatkan mengenai garis masa pelaksanaan yang telah ditetapkan, khususnya keperluan memulakan proses dalam tempoh 90 hari pertama.

Katanya, berdasarkan keputusan mahkamah, dalam tempoh 180 hari, semua perkara berkaitan pembayaran, mekanisme pelaksanaan serta perincian lain perlu dimuktamadkan dan dipersetujui bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

“Tempoh 90 hari seterusnya masih berbaki dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan rundingan berjalan lancar serta mencapai persetujuan muktamad.

“Komitmen kerajaan adalah untuk menunaikan perjanjian yang telah dimeterai oleh Persekutuan Malaysia, termasuk perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan hak 40 peratus hasil kepada Negeri Sabah,” katanya.

Pada 17 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI