fbpx
Mohd. Izani (dua kiri) bergambar di Hutan Rekreasi Rimba pada program santai bersama media @ Rimba KLIA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 malam tadi. Foto oleh: FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

Rimba tawar pengalaman inspirasi semula jadi baharu di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Penumpang transit dan pindahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 kini mempunyai ruang tambahan untuk berehat menerusi penawaran produk baharu berinspirasi alam semula jadi, Rimba.

Rimba terletak di Bangunan Satelit Terminal 1 sebelum ini dikenali sebagai ‘Jungle Boardwalk’ yang mana telah diberi nafas baharu bagi memberi lebih keselesaan dan pengalaman kepada penumpang.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, Rimba dilihat bakal memberi dimensi baharu kepada rangkaian kemudahan sedia ada kepada penumpang dengan menawarkan suasana tenang di KLIA.

Katanya, suasana itu turut memberikan kelegaan visual serta rasa kebersamaan ketika menunggu penerbangan seterusnya.

“Sebagai pintu masuk utama negara, KLIA memainkan peranan penting dalam membentuk tanggapan awal terhadap Malaysia.

“Penambahbaikan seperti Rimba menyokong semangat Visit Malaysia 2026 dengan menampilkan persekitaran yang mencerminkan identiti semula jadi serta budaya perkhidmatan Malaysia kepada pelancong yang tiba atau transit,” katanya ketika ditemui pemberita di KLIA di sini malam tadi.

Mohd. Izani berkata, Rimba menyumbang kepada keselesaan dan persepsi penumpang yang mana ia merupakan elemen dalam mempengaruhi penilaian penanda aras antarabangsa seperti Skytrax World Airport Awards dan ACI Airport Service Quality (ASQ).

Selain itu, katanya, lapangan terbang kini perlu bersaing bukan sahaja daripada segi kecekapan, tetapi juga pengalaman menarik kepada kumpulan penumpang.

“Dengan 50 hingga 60 juta penumpang melalui KLIA setiap tahun, perasaan dan pengalaman penumpang ketika transit amat penting.

“Jadi, Rimba menawarkan ruang rehat yang lebih selesa antara penerbangan sambil memberi penumpang gambaran tentang kekayaan alam semula jadi Malaysia.

“Penambahbaikan seperti ini membantu membentuk tanggapan positif dan mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab serantau,” katanya.

Meliputi keluasan 970 meter persegi, Rimba menampilkan pintu masuk yang diperbaharui, kehijauan yang dipertingkatkan, pencahayaan rotan hasil kraftangan tempatan serta tempat duduk bergaya dalam konsep taman.

Elemen-elemen ini direka untuk mengurangkan keletihan perjalanan dan menyokong pergerakan penumpang yang lebih lancar di sepanjang ruang legar satelit.

Penambahbaikan ini dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa seterusnya bakal memperkenalkan tawaran premium serta penambahbaikan untuk penumpang seperti lebih dekat dengan kaunter sambungan dan kaunter maklumat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN