fbpx
Tangkap layar video seorang lelaki menyerang mangsa menggunakan dua bilah pisau pemotong daging di sebuah kedai makan di Kuala Perlis, semalam.

Penganggur mengamuk guna pisau pemotong daging, besi kipas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun ditahan selepas disyaki mengamuk di sebuah kedai makan di Kuala Perlis, di sini dan premis perkakasan di Arau, dekat sini sehingga mencederakan tiga mangsa semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu berlaku di kedai makan di Jalan Panggung Wayang, Kuala Perlis sebelum suspek beredar ke premis perkakasan di Taman Pauh Indah, Arau.

Video kejadian turut tular di media sosial yang memaparkan suspek mengacukan dua bilah pisau dan menyerang seorang lelaki di sebuah kedai makan dengan kejadian turut disaksikan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, kejadian pertama berlaku di sebuah kedai makan apabila suspek menyerang seorang lelaki berusia 43 tahun dengan menggunakan dua bilah pisau pemotong daging.

“Mangsa ditetak di bahagian tangan kiri dan terpaksa menerima lima jahitan akibat luka tetakan tersebut. Mangsa memaklumkan dia mengenali suspek,” katanya di sini hari ini.

Suspek kemudian pergi ke kedai perkakasan di Arau bersama seorang lagi lelaki dan merosakkan barangan di situ serta mencederakan pekerja premis dan adik lelakinya.

Berhubung kejadian kedua itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, suspek masuk ke dalam kedai dan meminta seorang pekerja wanita berusia 34 tahun mengambil sebilah pisau.

“Pekerja itu bertanya jenis pisau yang mahu dibeli, namun suspek terus memarahi dan mengamuk sebelum mengambil besi kaki kipas dan memukul komputer. Dia juga cuba memukul pekerja terbabit, namun ditahan oleh adiknya. Selain itu, suspek turut memecahkan almari kaca dengan besi sama,” katanya.

Menurutnya, pekerja wanita itu kemudian keluar ke kedai bersebelahan untuk meminta pertolongan dan menghubungi pihak polis. Suspek pula terus menaiki kereta dan beredar dari situ.

“Kejadian itu mengakibatkan pekerja wanita mengalami luka dan lebam di bahagian belakang kanan badan, manakala adiknya pula cedera di jari tangan kanan akibat dilibas dengan besi kaki kipas. Mereka mendakwa tidak mengenali suspek,” ujarnya sambil memberitahu kerugian akibat kejadian itu dianggarkan kira-kira RM3,000.

Tambahnya, suspek berjaya ditahan di hadapan sebuah kedai makan di Pekan Pauh, Arau kira-kira pukul 5.15 petang hari sama dengan kes disiasat di bawah Seksyen 324/427 Kanun Keseksaan.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi kes di Arau sebelum diserahkan untuk siasatan kes di Kangar. Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI