PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan sembah ucap selamat kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang bakal menjalani rawatan lutut, Ahad ini.
Sultan Ibrahim bertitah demikian menerusi Instagram rasmi Seri Paduka Baginda, Official Sultan Ibrahim, hari ini.
“Patik serta rakyat mendoakan semoga Ke bawah Duli Tuanku selamat menjalani rawatan ini dan dikurniakan Allah SWT kesembuhan yang sempurna, serta dipermudahkan semua urusan berkaitan,” titah Seri Paduka Baginda.
Terdahulu, Jabatan Perdana Menteri Brunei menerusi kenyataannya memaklumkan, Sultan Hassanal Bolkiah dijadualkan menjalani prosedur pembedahan penggantian sendi lutut kanan pada 18 Januari ini. – KOSMO! ONLINE














