TANGKAK – Seorang pemandu lori maut selepas tersepit di bawah kenderaannya dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan berat di Kilometer (KM) 167.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, awal pagi tadi.
Nahas pada pukul 6 pagi itu mengorbankan mangsa, Haradih Ajin, 25, yang mengalami kecederaan parah selepas terseret dan tersepit bawah lori jenis Hino tersebut.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Asisten Komisioner Roslan Mohd. Talib berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa berada di belakang lorinya yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.
“Pada masa sama, datang sebuah treler dipandu lelaki berusia 34 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang lori terbabit dan mangsa. Akibat rempuhan itu, mangsa terseret dan tersepit di bawah lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Roslan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah pada bahagian dada manakala, pemandu treler cedera pada kaki kiri dan kanan. Mayatnya dihantar ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat dan kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- KOSMO! ONLINE














