KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini mencatatkan kali keempat berturut-turut berlangsung tanpa kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak, namun sosok bekas Presiden UMNO itu masih dirasai dalam kalangan ahli dan perwakilan parti.
Najib yang telah bersama UMNO lebih 50 tahun dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga besar parti itu, susulan sumbangan panjang beliau dari peringkat akar umbi hingga ke kepimpinan tertinggi.
Sepanjang penglibatan politiknya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan utama termasuk sembilan tahun sebagai Presiden UMNO, enam tahun sebagai Timbalan Presiden, 10 tahun sebagai Naib Presiden, sembilan tahun menerajui Pemuda UMNO serta 41 tahun sebagai Ketua Bahagian.
Walaupun tidak berada secara fizikal di dewan persidangan, nama Najib masih disebut dalam perbualan ahli dan perwakilan, khususnya ketika membicarakan sejarah perjuangan dan kepimpinan UMNO.
Bagi sebahagian perwakilan, ketiadaan Najib pada PAU kali ini bukan sekadar satu kekosongan fizikal, sebaliknya meninggalkan rasa rindu terhadap figura yang melalui susah dan senang bersama parti itu.
PAU tahun ini menyaksikan perwakilan terus berhimpun dengan harapan perpaduan parti dapat terus diperkukuh, sambil mengenang sumbangan tokoh-tokoh yang pernah mencorakkan perjalanan UMNO.-KOSMO! ONLINE.














